Sudut Buku India dilancarkan di Perpustakaan UNISSA





Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah





GADONG, Selasa, 26 Mei. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerima sumbangan sebanyak 46 buah buku ilmiah dan budaya daripada Kedutaan Republik India sempena pelancaran Sudut Buku India yang berlangsung di Perpustakaan UNISSA pagi tadi.


Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani. Turut hadir, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal bersama pegawai-pegawai eksekutif dan utama UNISSA, para tenaga akademik serta wakil daripada Kedutaan India.


Pelancaran Sudut Buku India merupakan hasil kerjasama antara Kedutaan India dan UNISSA dalam usaha memperkukuh hubungan kebudayaan dan pendidikan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India.


Inisiatif tersebut bertujuan menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti yang merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti sains dan teknologi, sejarah, sastera serta seni dan kebudayaan India.


Pelancaran sudut buku tersebut turut mencerminkan kesinambungan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. Sebelum ini, UNISSA pernah menerima sumbangan sebanyak 38 karya kaligrafi Islam pada tahun 2018 serta 38 buah buku pada tahun 2019 daripada Kedutaan India.


Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan atas kerjasama yang terjalin antara kedua-dua institusi.


Dengan pelancaran Sudut Buku India itu, UNISSA berharap kemudahan berkenaan akan menjadi sumber rujukan yang bermanfaat kepada warga universiti, di samping memperkukuh budaya ilmu dan membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama akademik serta kebudayaan di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.


Penambahan koleksi tersebut juga dijangka dapat memperkayakan lagi sumber rujukan antarabangsa di Perpustakaan UNISSA hasil sumbangan dan kerjasama pelbagai pihak.


Close